Jemput singgah blog saya..

Tuesday, September 01, 2015

Teori Relevans - Note


Teori Relevans telah diperkenalkan oleh Sperber dan Wilson bagi menggantikan teori Grice yang mempunyai beberapa kelemahan (Nor Hashimah Jalaluddin 1992:33). Teori Relevans mencakupi fakta tentang pembentukan dan pemilihan konteks serta prinsip relevans. Teori ini menekankan tiga gagasan utama iaitu konteks, kesan konteks dan usaha memproses. Semakin banyak kesan konteks yang diperoleh, semakin kurang usaha memproses yang diperlukan maka semakin relevanlah ujaran tersebut.
            Teori relevans yang merupakan salah satu teori dalam semantik dan pragmatik telah memperlihatkan hubungan di antara komunikasi dan kognitif. Teori ini cuba menjelaskan hubungan yang erat di antara peranan minda manusia dengan cara kita berkomunikasi. Segala apa yang dikomunikasikan akan diproses dan ditafsir sebelum makna sebenar ditemui. Menurut Teori Relevans (1995), semakin tinggi kesan konteks dan semakin rendah usaha memproses maklumat maka semakin relevan ujaran kita. Penutur mesti memastikan prinsip ini dipatuhi. Pendengar di suatu pihak yang lain akan menumpukan perhatian kepada ujaran yang relevan sahaja. Sekali lagi kaitan dengan proses komunikasi adalah kos memprosesnya. Jika bahasa yang digunakan dapat difahami dengan mudah, diikuti dengan usaha memproses maklumat yang rendah, maka maklumat yang disampaikan oleh penutur akan mendapat perhatian.

            Seperti yang diterangkan sebelum ini, teori relevans menekankan kepada kerelevenan sesuatu ujaran. Dalam konteks ini, teori ini memberi penekanan kepada penutur dan pendengar yakni kedua-dua mereka mestilah saling memahami bentuk ujaran antara satu sama lain semasa berkomunikasi (Nor Hashimah Jalaluddin 1991:476). Menurut Sperber dan Wilson (1986), dalam konteks berkomunikasi, terdapat dua perkara yang perlu diberi tumpuan agar komunikasi yang dilahirkan benar-benar berkesan di antara penutur dan pendengar.

Pertama adalah ujaran yang memiliki ciri kejelasan atau bermanifestasi dan persekitaran kognitif. Ujaran yang bermanifestasi bermaksud bahawa sesuatu ujaran itu mestilah jelas dan nyata agar mudah dikesan dan difahami oleh pendengar. Aspek kedua pula merupakan persekitaran kognitif yang merujuk kepada set-set fakta yang dibekal kepada individu yang terlibat semasa perbualan. Bagi pihak penutur, mereka akan membekalkan set-set fakta kepada pendengar untuk diproses dan kesan kepada pendengar ialah dapat mengubah persekitaran kognitif mereka untuk menerima kesan dan kesimpulan daripada ujaran penutur.

Komunikasi kebiasaannya merupakan perhubungan dua hala yang melibatkan penutur dan pendengar. Walau bagaimanapun, komunikasi tidak sahaja berbentuk perbualan antara pihak pendengar dan penutur sahaja malah boleh sahaja berbentuk perhubungan objek dengan manusia contohnya televisyen dengan penonton, surat khabar dengan pembaca dan buku dengan pembaca (Nor Hashimah Jalaluddin 2001:48). Berdasarkan hakikat ini, sesuatu komunikasi sebenarnya melibatkan kesemua pihak yang terlibat dalam proses memberi dan menerima maklumat. Bagi pihak penutur, buku, televisyen, akhbar dan sumber maklumat yang lain haruslah memastikan sumber maklumat yang relevan dengan tumpuan yang telah diberikan oleh pihak pendengar, penonton dan pembaca. Menerusi kriteria-kriteria yang telah digaris dan dipatuhi, maka maklumat dapat disampaikan dengan mudah kepada sasaran.

            Prinsip utama teori Relevans adalah terdiri daripada dua perkara.Yang pertama adalah andaian asas iaitu di mana manusia berorientasikan relevan. Pendengar selalunya akan menumpukan perhatian kepada maklumat yang relevan dengan dirinya. Kesan daripada andaian asas pendengar akan meminta perhatian, penutur akan mencipta segala pengharapan yang relevan. Interpretasi yang terbaik adalah interpretasi yang dapat mematuhi pengharapan ini.

            Prinsip kedua bagi teori ini adalah dibantu oleh tiga komponen utama iaitu konteks, kesan konteks dan usaha memproses maklumat. Maklumat yang terbaik ialah maklumat yang mempunyai kesan konteks yang tinggi dengan sedikit usaha memproses maklumatnya.

1)      Konteks
Merupakan seberkas andaian tentang dunia yang dibina secara psikologi oleh pendengar. Ia boleh wujud menerusi situasi mental atau diperoleh daripada persekitaran sebenar. Ia melibatkan maklumat tentang persekitaran fizikal yang paling dekat, ujaran terdahulu yang paling hampir, tetapi juga melibatkan masa depan, hipotesis saintifik atau kepercayaan agama, kenangan lucu, andaian am tentang budaya dan kepercayaan terhadap pemikiran si penutur. (Sperber dan Wilson 1999:26). Dalam konteks pengembangan, konteks pemula atau konteks awal boleh dijalankan dengan tiga cara iaitu melalui penglihatan ke arah ujaran atau ayat terdahulu, penglihatan kepada alam sekitar dan merujuk ensaiklopedia (Nor Hashimah Jalaluddin 2000:75).

2)      Kesan Konteks
Ia merupakan andaian awal yang ada pada diri pendengar tentang maklumat yang relevans dengan diri pendengar. Lebih banyak kesan konteks, lebih relevans sesuatu ujaran tersebut. Dalam mencari sesuatu kesan konteks, penutur dan pendengar akan melakukan beberapa proses iaitu penggabungan maklumat, penguatan maklumat dan pengguguran maklumat. Kesan konteks merupakan andaian awal yang ada pada pendengar dan pembaca tentang maklumat yang relevan dengan diri pendengar dan pembaca itu. Dalam komunikasi, pendengar akan menggabungkan atau memperkuatkan atau menggugurkan konteks yang ingin dikaitkan oleh penutur dengan andaian awal yang sedia ada untuk menghasilkan kesan konteks. Usaha memproses merupakan proses seseorang pendengar atau pembaca untuk memahami apa yang sedang dikomunikasikan. Semakin rendah kos memproses, maka semakin relevanslah ujaran itu (Nor Hashimah Jalaluddin 1995). Untuk penjelasan usaha memperoleh kesan konteks ini, Norhashimah Jalaluddin (2003) telah menggariskan beberapa proses yang perlu dilakukan oleh pihak penutur dan pendengar, antaranya ialah:

i)                    Penggabungan maklumat
Pendengar mengaitkan andaian awal dengan maklumat baru yang diterima.
ii)                  Penguatan maklumat
Bagi pendengar dan pembaca, proses berlaku apabila andaian awal yang terbina pada diri mereka dapat dikuatkan lagi dengan maklumat baru yang dibekalkan oleh pihak penutur. Dalam proses berkomunikasi, maklumat sebegini penting dalam menginterpretasi makna ujaran dengan tepat dan jitu.
iii)                Pengguguran maklumat
Berlakunya pertentangan maklumat antara andaian awal yang terbina pada diri pendengar dan pembaca dengan maklumat-maklumat baru yang diterima oleh pihak mereka. Dengan wujudnya fenomena ini maklumat yang diterima oleh mereka pula merupakan maklumat yang relevan dengan diri mereka dan fenomena ini membentuk kesan konteks yang tinggi.

3)      Usaha Memproses Maklumat.
Semakin rendah kos memproses maklumat, maka semakin relevanlah pengujaran tersebut. Usaha memproses maklumat ini ada kaitannya dengan jumlah masa yang diambil untuk mentafsir makna. Lebih sedikit masa digunakan maka lebih relevanlah sesuatu maklumat itu. Ini bermakna mana-mana maklumat yang sukar dan memerlukan masa yang lama adalah merupakan maklumat yang kurang baik untuk diketengahkan. Malah risiko kesalahfahaman akan berlaku dan secara tidak langsung ketergendalaan komunikasi akan berlaku. Ini jelas berlaku apabila berlaku salah padanan di antara maklumat yang dibekal dengan konteks si pendengar.

            Kos memproses merujuk kepada usaha dalam menginterpretasi ujaran. Bagi pihak pendengar, merujuk kepada usaha memproses maklumat manakala bagi pihak penutur pula merujuk kepada usaha bagi memastikan ujaran mereka dapat difahami oleh pendengar. Prinsip relevans menekankan bahawa semakin rendah usaha memproses maklumat, semakin relevan sesuatu ujaran dan begitulah sebaliknya jika semakin tinggi usaha memproses, semakin tidak relevan sesuatu ujaran. Dalam sesuatu komunikasi, kesukaran memahami sesuatu ujaran pada diri pendengar sering dikaitkan dengan kos memproses yang tinggi manakala ujaran yang relevan pula sering dikaitkan dengan dengan dengan kos memproses yang rendah tetapi melahirkan kesan konteks yang tinggi. Hal ini menjelaskan bahawa bagi memperoleh sesuatu maklumat yang baik, maka ketiga-tiga gagasan tersebut merupakan kriteria penting yang perlu diberi perhatian oleh sama ada penutur mahupun pendengar.

Kesimpulannya, prinsip relevans adalah menekankan berkenaan, semakin tinggi kesan konteks maka semakin relevan sesuatu ujarandan semakin rendah kos memproses maka semakin relevan sesuatu ujaran.


 
Add caption

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Assalam.. Penerangan yang sangat jelas. Saya mohon izin untuk gunakan bahan ini bagi kajian saya. Terima kasih.

    ReplyDelete

Ok tell me how do u feel about that?