Jemput singgah blog saya..

Thursday, September 03, 2015

Bagaimana CTRT boleh menyelesaikan masalah?


a)      Mengapa anda memilih teori kaunseling CTRT ?

Saya memilih teori pilihan dan terapi reality(CTRT) kerana matlamat keseluruhan teori ini adalah menolong individu mencari apa yang berkesan untuk memenuhi keperluan untuk dipunyai, berkuasa, kebebasan dan berseronok. Sebagai manusia itulah lumrah kehidupan. Setiap manusia tidak lari daripada untuk memiliki semua itu. Malah itu adalah menjadi keperluan utama manusia.  Tanpa keperluan tersebut, manusia akan mudah tertekan kerana dalam kehidupan, manusia memerlukan sokongan untuk terus hidup.

Teori ni juga menekankan bahawa kesedaran klien tentang sesuatu masalah berkesan untuk mengawal hidupnya. Ia akan lebih terbuka kepada alternatif cara untuk bertingkah laku. Terapi ini juga lebih kepada menilai sendiri sama ada perbuatan yang dilakukan adalah betul atau tidak untuk menolong dirinya sendiri. Glasser (1989, 1992) juga menekankan bahawa kita hanya boleh mengawal tingkah laku kita sendiri. Cara yang terbaik untuk mengawal peristiwa yang berlaku di sekeliling kita ialah melalui apa yang kita lakukan.

b)     Apa menariknya teori berkenaan dengan diri anda?
Teori realiti ini sangat menarik bagi saya kerana ia selari dengan terapi kewujudan, terapi pemusatan-perorangan dan terapi gestalt. Kesemua terapi ini berkaitan dengan dunia fenomenologi seseorang yang menekankan kepada tanggapan cara subjektif dan berinteraksi kepada dunia daripada lokus penilaian dalaman. Teori ni menarik kerana teori ni lebih bersifat lembut dan tekniknya tidak terlalu berat untuk dibuat oleh klien. Terapi ni lebih kepada klien menilai sendiri masalah yang dihadapi yang dibantu oleh kaunselor.

 Prosedur ke arah perubahan iaitu sistem ‘WDEP’ juga menarik bagi saya untuk menggunakan teori ni. Perkara yang dimaksudkan dengan ‘WDEP’ ialah W yang bermaksud wants(kemahuan); D bermaksud direction and doing (arah dan lakukan); E yang bermaksud evaluation (penilaian) dan P  bermaksud planning (perancangan). Melalui prosedur ini, saya dapat menilai perkara sebenar yang saya mahukan dengan jenis-jenis soalan yang ditanya bagi menjawab soalan ini. Selain itu, teori ini menarik kerana ia menekankan bahawa manusia mempunyai kebebasan untuk membuat pemilihan dan bertanggungjawab dengan setiap pemilihan yang telah dibuat. Kita hanya boleh membuat kawalan hidup kita secara berkesan jika kita bersedia berusaha untuk membentuk destinasi kita, kerana semua tingkah laku adalah datang daripada dalaman diri untuk memenuhi lima keperluan asas seseorang.

c)      Apakah dalam teori itu benar-benar signifikan dengan anda?

Ya. Teori realiti ini benar-benar signifikan dengan saya kerana dalam teori ini menyatakan tentang lima keperluan asas manusia yang saya setuju ianya merupakan faktor motivasi dalaman seseorang iaitu keperluan untuk dipunyai, kuasa, kebebasan, berseronok dan keperluan untuk terus hidup. Saya juga sangat bersetuju dengan kepercayaan yang dikatakan Glasser bahawa kita bertanggungjawab atas apa yang kita pilih untuk melakukan sesuatu dalam hidup kita. Teori ini menekankan bahawa manusia mempunyai kebebasan untuk membuat pemilihan dan perlu bertarung dengan tanggungjawab yang datang dengan setiap pemilihan yang dibuat. Contohnya, saya yang memilih untuk tidak mengulang kaji pelajaran dan belajar bersungguh-sungguh dan tiada sesiapa pun yang menggalakkan saya berbuat begitu. Saya sendiri yang pilih jalan itu dan saya perlu bertanggungjawab atas kegagalan yang disebabkan oleh diri saya sendiri. Kita boleh membuat kawalan hidup kita secara berkesan jika kita bersedia berusaha untuk membentuk destinasi kita, kerana semua tingkah laku kita adalah datang dari dalaman diri untuk memenuhi lima keperluan asas seseorang.

d)     Bagaimana teori kaunseling tersebut menyelesaikan masalah anda?
Teori kaunseling yang saya pilih ini membantu saya dengan menggunkaan prosedur ke arah perubahan iaitu menggunakan sistem ‘WDEP’. Menurut Glasser (1992), prosedur kea rah perubahan adalah berdasarkan kepada andaian bahawa manusia dimotivasi untuk berubah apabila ia yakin bahawa tingkah laku masa kininya tidak dapat menolongnya mendapat apa yang ia kehendaki dan ia percaya bahawa ia boleh memilih tingkah laku lain yang akan mendekatkannya kepada apa yang ia ingini. Contohnya, saya tahu  saya selalu gagal mendapat apa yang saya mahukan kerana tiadanya usaha untuk saya menuju ke arah itu seperti belajar bersungguh-sungguh dan apabila saya mendapat kesedaran saya memilih jalan untuk sentiasa mengulangkaji pelajaran di waktu malam dan belajar secara berkumpulan untuk memiliki perkara  yang saya ingini. Saya menggunakan system ‘WDEP’ untuk merubah diri saya kearah yang lebih baik.

W (Work) = Kehendak (meneroka kemahuan, keperluan dan persepsi)
Saya menghadapi masalah sukar mendapat apa yang saya ingini dan banyak halangan untuk saya menempuh semua itu. Saya sering dipermainkan oleh lelaki dan perhubungan dengan rakan saya juga menjadi satu halangan bagi saya kerana salah faham antara rakan saya membuatkan saya tidak dapat menumpukan perhatian dalam menghadapi peperiksaan. Faktor kesihatan juga menjadi halangan bagi saya semasa saya ingin menjawab PMR. Aapa yang saya kehendaki di sini ialah saya mahu sentiasa diterima oleh orang lain dan mahu mendapatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan.

D (Direction) = Arah dan lakukan
Terapi ini menekankan tingkah laku masa kini dan juga mengambil kira peristiwa masa lalu hanay dari segi kaitannya bagaimana peristiwa ini mempengaruhi tingkah laku sekarang. Saya mendapat keputusan yang agak teruk disebabkan gangguan-gangguan seperti masalah percintaan dan salah faham antara rakan. Saya mengarahkan diri saya untuk tidak terlibat dengan percintaan dan lebih menumpukan perhatian dalam pelajaran dan sentiasa menjaga hubungan yang baik antara rakan.

E (Evaluation) = Penilaian
Saya menilai tindakan yang saya buat sebelum ini dan merasakan bahawa adakah tindakan yang saya buat sebelum ini dapat membuatkan saya mencapai apa yang saya ingini. Saya merasakan bahawa saya perlu belajar bersungguh-sungguh dan tidak terlibat dengan percintaan dan hanya menumpukan kepada belajar. Saya perlu lebih menumpukan perhatian di dalam kelas dan sentiasa mengulangkaji pelajaran secara bersendirian atau pun berkumpulan.

P (Planning) = Perancangan dan komitmen
Setelah saya menentukan apa yang saya ingini,saya perlu merangka pelan tindakan dengan membuat jadual belajar, kurangkan bersosial, belajar secara berkumpulan, tidak menangguhkan kerja, menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas dan sebagainya. Seoanjang proses perancangan ini, saya perlu sentiasa mengingatkan diri saya agar bertanggungjawab untuk pilihan dan tindakan ini. Saya perlu sentiasa ingat bahawa tiada sesiapa di dunia ini yang akan melakukan perkara untuk diri saya melainkan diri saya sendiri.









No comments:

Post a Comment

Ok tell me how do u feel about that?