Jemput singgah blog saya..

Sunday, October 21, 2012

Teori kegemaran saya :) Alfred Adler


Teori Psikologi Individu 

 Teori ini memfokuskan kepada keunikan yang dimiliki oleh seseorang individu dan Adler menolak mengenai desakan seksual yang menentukan sesuatu personaliti seseorang. Menurut Adler, fenomena psikologi yang dialami oleh setiap individu adalah berbeza di antara satu sama lain tetapi ia bersifat konsisten di antara satu sama lain iaitu untuk mencapai kehendak superioriti. Kegagalan seseorang individu untuk berhadapan dengan cabaran hidup mendorong seseorang individu untuk bersifat lemah, pasif dan defensif iaitu individu ini sedang mengalami inferioriti kompleks.
            Kehendak seseorang individu itu mempengaruhi setiap tindakan mereka dan berpandukan kepada pengalaman yang lepas yang dilalui oleh mereka yang mendorong kepada usaha untuk merealisasikan sesuatu kehendak. Perasaan inferioriti yang wujud secara nyata atau khayalan dalam diri seseorang individu dianggap sebagai suatu yang normal. Malah, perasaan inferioriti ini menjadi dorongan untuk seseorang individu mencapai keinginan superioriti.
            Superioriti pula merupakan matlamat hidup seseorang individu untuk mencapai kesempurnaan kendiri yang unggul. Matlamat ini dijadikan sebagai panduan kepada seseorang individu untuk menghasilkan idea yang dibayangkan. Ia diistilahkan sebagai fictional finalism. Kematangan atau kebaikan seseorang individu itu dapat dilihat melalui pandangan seseorang individu terhadap kehidupan sosial yang sedang dihadapi olehnya.
            Menurut Adler, jika seseorang berusaha membantu orang lain, maka dia sebenarnya sedang membantu dirinya dalam mencapai matlamat. Dengan mempunyai kepentingan sosial yang tinggi, seseorang individu itu amat mementingkan kebajikan orang lain. Usaha yang dibuat untuk menyumbang kepada kebajikan masyarakat akan membantu individu tersebut untuk menyesuaikan diri dengan baik di samping dapat mengurangkan perasaan sunyi dan tertekan.   
            Perancangan hidup seseorang individu dianggap unik dan cara hidup mereka dibentuk semasa lima tahun yang pertama. Selain itu, layanan ibu bapa semasa di peringkat kanak – kanak memberi kesan kepada timbulnya reaksi inferioriti dalam diri anak – anak. Ia mempengaruhi pembentukan personaliti unik kanak – kanak dan menentukan gaya hidup yang bakal diamalkan ketika dewasa kelak. Antara gaya hidup anak – anak yang dikesan yang dipunyai oleh anak – anak ialah jenis dominan, jenis bergantung, jenis mengelak dan jenis sosial.
            Selain itu, Adler turut percaya perbezaan layanan ibu bapa terhadap anak – anak adalah berkait rapat dengan turutan kelahiran setiap anak. Ini bermakna, layanan yang diterima oleh anak sulung, anak kedua, anak tengah, anak tunggal dan anak bongsu adalah berbeza – beza di antara satu sama lain. Oleh itu, melalui pengalaman yang dialami seseorang individu itu mampu menciptakan personaliti dan tingkah laku diri yang unik dan ia berdasarkan persepsi subjektif yang dimiliki oleh mereka.
            Menurut Adler lagi, desakan hidup yang dihadapi oleh seseorang menjadi tunggak kepada perkembangan personaliti individu itu sendiri. Di samping itu, konsep kendiri kreatif turut memainkan peranan besar dalam menentukan personaliti seseorang individu. Kendiri kreatif wujud dalam diri individu berasaskan kepada proses pembelajaran yang dilalui sepanjang kehidupannya pada masa lalu. Sebarang keputusan yang dibuat dan segala tanggungjawab akan disandarkan kepada individu itu sendiri. Penilaian dalam baik dan buruk sesuatu perkara itu adalah bergantung kepada pengamatan individu itu sendiri dan manusia bukanlah hamba kepada nasib.

No comments:

Post a Comment

Ok tell me how do u feel about that?