Jemput singgah blog saya..

Sunday, October 21, 2012

Punca salah laku remaja


ARKIB : 12/07/2000
Punca salah laku remaja

Oleh: DR. NASRUDIN MOHAMED
BANYAK kajian, misalnya yang diusahakan oleh Willis (1981. The maligning of adolescence: Why?. Adolescence, 16,953-958) mendapati golongan dewasa secara amnya tidak menyukai dan tidak mempercayai remaja berbanding dengan sikap mereka terhadap golongan lain dalam masyarakat.

Sikap serong seumpama ini dikaitkan oleh ramai pakar psikologi remaja sebagai sikap yang didorong oleh kecenderungan stereotaip. Sterotaip di sini bermaksud setiap remaja dilihat sebagai sama antara satu sama lain.
Sekali gus, kecenderungan begini menyebabkan remaja selalu dilihat sebagai golongan minoriti yang gemar mencetuskan perilaku salah dan mempunyai keadaan minda yang tidak seimbang.
Kalangan ibu bapa dan masyarakat umum semakin bimbang dengan pelbagai persoalan yang dipaparkan dalam pelbagai sumber maklumat. Sehingga hari ini, masyarakat tidak lagi hanya bercakap mengenai permasalahan remaja berdasarkan jumlah kes yang dilaporkan kepada pihak berkuasa semata-mata, bahkan sudah mula membicarakan mengenai kepelbagaian perilaku yang dianggap sebagai petanda keruntuhan masyarakat pada masa akan datang.
Kecenderungan ini dikaitkan dengan pelbagai jenis perilaku menyimpang yang juga semakin meningkat kekerapan kejadiannya.
Sebagai contoh, sebanyak 30 kes pembunuhan yang melibatkan remaja sebagai pelaku telah diindeks oleh mahkamah dalam tempoh tahun 1990 hingga 1992.
Manakala bagi tempoh antara tahun 1981 hingga 1991 pula, sebanyak 340 kesalahan serangan seksual telah disabitkan terhadap remaja. Perkembangan mutakhir yang mengejutkan masyarakat masa kini adalah laporan bahawa semakin ramai pelajar sekolah - rendah dan menengah - di negara ini yang disyaki terlibat dalam apa yang diungkapkan oleh banyak media akhir-akhir ini sebagai gengsterisme.
Dari perspektif kerajaan, permasalahan remaja ini sememangnya dijadikan agenda penting terutamanya oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Program Rakan Muda umpamanya - yang pengisiannya cukup banyak - tidak syak lagi memberikan gambaran yang jelas betapa permasalahan remaja bukanlah merupakan perkara kecil.
Kementerian Kesihatan pula telah pun mengambil langkah permulaan untuk memintas fenomena pelajar dan AIDS dengan mengemukan Program Sihat Tanpa AIDS (Prostar).
Atas alasan inilah maka persoalan remaja ini - dalam hubungannya dengan perkembangan dan cara-cara mengatasinya - harus ditanggap dengan cermat dan wajar.
Sebarang langkah atau usaha untuk menangani persoalan remaja perlu didahulu dengan persediaan niat serta strategi yang mempertimbang pelbagai perkara yang bersangkutan sama ada secara tersurat apatah lagi yang tersirat.
Kebanyakan takrifan mengenai remaja lebih menumpukan perhatian kepada 'orang muda'. Dalam masyarakat Barat, remaja dirujuk kepada tahap perkembangan seseorang apabila bermulanya saat puberti (cukup umur), iaitu kira-kira pada usia antara dua belas ataupun tiga belas tahun dan berterusan sehingga mencecah kehidupan dewasa.
Tidak kurang juga sebilangan orang yang memahami remaja berdasarkan pengaruh televisyen, media cetak dan sebagainya. Atas sebab itu, setiap kali perkataan remaja disebut, masyarakat umumnya lebih senang untuk mengaitkan remaja dengan pelajar sekolah.
Untuk lebih memudahkan, ada yang mengaitkan remaja sebagai golongan masyarakat yang berusia belasan tahun sahaja. Malah pengkajian mengenai pertumbuhan remaja secara lebih bermakna dikatakan hanya bermula pada abad ke-20 (Hamburg, 1974 Early adolescence: A specific and stressful stage of the life cycle dlm. Coelho, G,. Hamburg, D, and Adams, J., Coping and adaptation (hal. 101-124), New York: Basic Books).
Sebagai satu istilah, 'remaja' merupakan tempoh kehidupan yang sangat penting dalam putaran hayat seseorang. Berdasarkan padanan perkataan Inggeris, adolescence, 'remaja' dirujuk kepada tempoh peralihan antara zaman kanak-kanak dengan zaman kedewasaan dalam kehidupan seseorang.
Dalam huraian yang mudah, remaja menggambarkan tahap perkembangan pesat yang berlaku antara kehidupan kanak-kanak dan kedewasaan.
Delinkuensi, atau kenakalan remaja pula merujuk kepada perilaku tidak dewasa yang melanggar norma-norma yang ditetapkan oleh badan pengawal (sama ada masyarakat atau kerajaan).
Ada juga yang berpendapat, misalnya oleh rice, (1990 The Adolescent, Massachusets: Allyn & Bacon, hal. 268), bahawa delikuensi atau kenakalan merupakan perilaku bertentangan dengan undang-undang jenayah yang dilakukan oleh juvena, yang di kebanyakan negara, berusia di bawah 18 tahun.
Menurut perspektif undang-undang, istilah delinkuensi juvena dimaksudkan kepada penceroboh undang-undang yang masih muda bagi mengelakkan mereka diberikan status penjenayah dan juga untuk mengasingkan mereka yang di bawah umur daripada disamakan dengan penjenayah dewasa.
Kebanyakan penceroboh muda ini dibicarakan di mahkamah juvena dengan tujuan memulihkan mereka.
Secara umum, faktor-faktor yang selalunya dikaitkan dengan fenomena dilinkuensi remaja dilihat dari tiga aspek: Pertama, faktor sosiologi; kedua, faktor psikologi; dan ketiga, faktor biologi.
Faktor sosiologi merangkumi latar belakang keluarga, pencapaian persekolahan, penyalahgunaan dadah dan tabiat meminum alkohol atau menghidu gam, penonjolan aksi ganas di dalam budaya dan media, pengaruh komuniti dan penduduk setempat dan juga pengaruh rakan sebaya.
Menonton filem misalnya merupakan satu daripada proses yang melibatkan pembelajaran sosial. Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, menonton filem mempunyai pengaruh yang besar yang menyumbangkan kepada dilinkuensi remaja.
Biasanya, remaja tertarik untuk ke pawagam kerana beberapa sebab. Antaranya termasuklah, (1) menonton filem di pawagam akan menjauhkan remaja dari rumah; (2) remaja percaya terdapat ramai lagi remaja lain yang juga pergi ke pawagam untuk menonton; (3) filem merupakan saluran bagi remaja untuk melihat pelbagai pengalaman manusia.
Banyak kajian menunjukkan remaja menerima perilaku watak-watak dalam filem sebagai moral yang boleh diikut oleh mereka. Ini bermakna, walaupun perilaku yang ditunjukkan oleh sesuatu watak itu di kira berunsurkan keganasan dan antisosial, namun remaja tetap percaya ia moral yang baik untuk diri mereka sendiri.
Ini berlaku kerana remaja menganggap mereka boleh melakonkan semula watak tersebut - dan kemudiannya berasa sesuai - untuk dipadankan dengan identiti diri yang dicari-cari.
Delinkuensi remaja yang dilihat dari perspektif sosiologi ini boleh juga dikaitkan dengan pengaruh yang timbul akibat gaya-nilai kebendaan (hedonistik) masa kini di dalam masyarakat. Bukanlah merupakan sesuatu yang di luar kebiasaan pada hari ini untuk kita melihat remaja mempunyai segala kemudahan ke arah kemewahan, petanda status diri dan sebagainya.
Sebagai contoh, pada masa sekarang, remaja berkeupayaan memiliki kereta, menyimpan kad kredit, wang saku yang banyak dibekalkan oleh ibu bapa dan sebagainya.
Kehidupan remaja terbuka kepada pelbagai peluang yang boleh mereka kecap, biarpun peluang tertentu itu hanyalah sebenarnya merupakan kerosakan kepada diri sendiri.
Dengan itu, minuman keras umpamanya menjadi amalan biasa bagi yang berkemampuan. Dalam hal ini, ada pendapat yang menyebutkan betapa minat dan sikap remaja yang bebas pulang ke rumah sehingga lewat malam, terlibat dalam laku musnah atau perilaku delinkuensi hanyalah merupakan 'keseronokan' semata-mata.
Faktor sosiologi dan biologi pula selalunya mengaitkan perilaku nakal yang ditunjukkan oleh remaja sebagai berhubungan dengan keadaan rumah dan keluarga.
Seorang lagi penyelidik, LeFlore (1988 Delinquent youths and family. Adolescence, 23, 305-315), misalnya mendapati secara keseluruhannya, persekitaran rumah tangga merupakan faktor terpenting dalam persoalan delinkuensi remaja berbanding dengan struktur keluarga.
Berdasarkan premis inilah ada pendapat mengatakan bahawa perhubungan antara remaja dengan ibu bapa sangatlah penting untuk dipelihara.
Walaupun kajian mendapati remaja - sama ada lelaki atau perempuan - lebih akrab dengan ibu, namun didapati juga keakraban antara remaja lelaki dengan bapa mereka merupakan petunjuk lebih jelas yang boleh dikaitkan dengan perilaku nakal dan ganas (rujuk, misalnya kajian Johnson, 1987 ''Mothers versus father's roles in causing deliquence,'' Adolescence,22,305-315).
Apa yang wajar difikirkan dan dipertimbang di sini adalah perilaku nakal yang ditunjukkan oleh remaja kebanyakannya merupakan menifestasi kepada masalah sebenar yang tersembunyi. Ini berpandukan kepada pelbagai faktor lain yang mendorong kepada perilaku dilinkuensi. Persoalannya, mampukah diteroka sebanyak mungkin unsur penyebabnya?

DR. NASRUDIN MOHAMMED, Provos Universiti Teknologi Mara, Sungai Petani.

No comments:

Post a Comment

Ok tell me how do u feel about that?