Jemput singgah blog saya..

Sunday, October 21, 2012

Pelaksanaan intervensi untuk SOLAT


Pengenalan Solat

Solat bahasa arab disebut ṣalawāt yang  merujuk kepada sembahyang dalam agama Islam. Solat terbahagi kepada solat fardu dan solat sunat. Solat fardu diwajibkan ke atas orang Islam yang baligh dan berakal sebanyak 5 kali sehari pada waktu-waktu tertentu. Solat fardhu merupakan Rukun Islam yang ke-2 dari lima Rukun Islam.. Solat fardhu yang wajib didirikan ialah solat lima waktu sehari semalam, iaitu subuh, zohor, asar  maghrib  dan isyak. Sekiranya seseorang tertinggal solat fardhu, wajib baginya untuk mengulangkannya dengan niat qada.Bagi mereka yang musafir, mereka diharuskan bagi solat dengan menqasar dan menjamakkannya.


Solat Zohor Waktunya dimulai sejak matahari tergelincir ke barat dan berakhir di saat bayangan sesuatu benda itu sama betul panjangnya dengan benda itu.
Solat Asar Waktunya dimulai setelah waktu Zohor habis, iaitu ketika bayangan sesuatu benda sama panjang dengan bendanya dan berakhir setelah terbenamnya matahari.
Solat Maghrib Waktunya dimulai setelah terbenamnya matahari dan berakhir apabila mega merah telah hilang.
Solat Isyak Waktunya dimulai setelah hilangnya mega merah sampai terbitnya fajar shadiq.
Solat Subuh Waktunya dimulai setelah terbit fajar shadiq sampai terbitnya matahari



Latar belakang diri mengenai tahap penghayatan amalan intervensi sebelum dilaksanakan intervensi.

Penghayatan saya tentang amalan intervensi yang saya lakukan iaitu solat adalah saya sedar dan faham bahawa solat adalah satu kewajipan dan tiang agama bagi seorang umat islam.Di rumah saya didik untuk mengerjakan solat 5 kali sehari oleh kedua ibu bapa saya.Walaupun begitu kesibukan seorang ayah dengan kerjanya yang memaksanya keluar rumah pada awal pagi dan kesibukan ibu menguruskan hal-hal rumah tangga menyebabkan mereka tidak dapat memantau pergerakan saya di rumah sehinggakan mereka tidak dapat mengawal waktu solat saya pada setiap hari. Dengan itu menjadi kebiasaan saya untuk solat pada lewat waktu terutama pada waktu zohor,asar,dan maghrib.Tabiat buruk ini menjadi sebati dalam diri saya dan saya terbawa- bawa tabiat ini sehingga saya meningkat remaja. Saya sering mengerjakan solat pada akhir waktu dengan alasan menyiapkan kerja sekolah atau urusan lain. Ia menjadi kebiasaan saya dan saya sangat risau akan tabiat ini semakin menjadi darah daging dalam kehidupan saya.Sekarang saya merupakan penutut di Universiti Pendidikan Idris dan masih menjadi tabiat saya untuk melambatkan solat dan saya sering terlepas waktu subuh dan menunaikannya selepas saya bangun dan menggantikan solat itu.Biasanya saya akan terjaga di antara pukul 8 pagi atau 9 pagi.Hal ini menyebabkan saya sering tertinggal solat subuh terutama apabila terpaksa tergesa-gesa ke kelas.

Perlaksanaan intervensi selama seminggu.
(Tidak meninggalkan solat,solat awal waktu & berjemaah)
Dalam masa seminggu,saya telah mencabar diri saya untuk cuba mengerjakan solat pada awal waktu. Selain itu saya juga mengingatkan rakan serumah saya supaya mengajak saya untuk solat berjemaah di rumah kami.Hal ini kerana saya ingin mengikut syariat Allah SWT yang menyebut
 “Seorang yang bersolat secara berjemaah akan digandakan sebanyak dua puluh lima kali pahala lebih daripada orang yang bersolah bersendirian di rumah atau di kedai.’’ (Hadith riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah).
Adalah menjadi kerugian bagi saya sekiranya tidak melakukan solat jemaah sekiranya saya mampu untuk melakukannya Saya sangat bertekad untuk menghasilkan intervensi yang terbaik dan ingin mencuba adakah saya mampu berubah dalam masa seminggu dengan istiqamah.Bermula hari pertama itu saya telah nekad untuk mengerjakan solat awal waktu terutama waktu solat subuh.Sebelum ini saya kerap kali terlepas waktu subuh dan sering solat lewat kerana tidur tidak sedar.Oleh itu sebgai langkah utama saya telah memasang 2 penggera jam untuk memastikan saya terjaga.Hal ini kerana saya sering mematikan bunyi jam setiap kali penggera jam berbunyi dan menyambung tidur saya kembali.Saya juga meminta tolong daripada rakan serumah saya untuk mengejutkan saya pada waktu subuh sekiranya saya tidak terjaga pada waktunya memandangkan rakan sebilik saya beragama kristian dan tidak mungkin dia yang akan mengejutkan saya untuk mendirikan solat subuh.Oleh itu mulai hari pertama dalam tempoh seminggu ini saya memaksa diri saya untuk mengikut waktu yang awal untuk bersolat dan sekiranya saya di kampus,saya akan mengerjakan solat terlebih dahulu kemudian baharulah menguruskan perkara-perkara lain atau ke kelas.Secara berterusan saya bersolat di awal waktu dan tidak meninggalkan solat saya memandangkan terdapatnya satu riwayat dari Hazrat Jabir RA ; katanya, Rasulullah SAW bersabda,
 “Perumpamaan solah lima waktu ialah seperti seseorang yang mandi di sebatang sungai yang dalam yang mengalir di hadapan rumahnya sebanyak lima kali sehari.”(Hadith riwayat Imam Muslim)


Analisis kognitif
Secara kognitifnya saya berpendapat bahawa tindakan ini sangat tepat untuk mendidik atau membiasakan diri saya untuk berubah menjadi lebih baik contohnya dalam soal kesempurnaan dalam solat setelah melakukan intervensi dengan tekad selama seminggu.Saya lebih banyak mengikut kata-kata yang positif dan bukannya mendengar bisikan syaitan yang memujuk saya supaya tidak mengerjakan solat atau sengaja melambat-lambatkannya.Saya mendapati terdapat banyak kelebihan solat dan kerugian-kerugian orang yang tidak bersolat dan melambatkan solat mereka adalah sangat rugi dan tidak bersyukur pada Allah. Misalnya,diriwayatkan daripada Hazrat Abu ‘Uthman RA katanya,
“Saya bersama Hazrat Salman RA di bawah sepohon pokok. Beliau memegang sebatang dahan kering dari pokok tersebut, lalu menggoncang-goncangkan dahan tersebut sehingga daun-daun pada dahan dahan itu gugur. Kemudian beliau berkata kepada saya, ” Wahai Abu ‘Uthman, mengapa kamu tidak bertanya sebab saya berbuat begini?” Saya bertanya, “Beritahulah mengapa kamu berbuat begitu?” Beliau menjawab, “Beginilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di hadapan saya semasa saya bersama-sama Baginda SAW di bawah sepohon pokok. Baginda SAW telah mengambil sebatang dahan kering dari sepohon pokok lalu melakukan sebegini sehingga semua daun gugur. Kemudian Baginda SAW bertanya kepada saya, “Salman, mengapa kamu tidak bertanya sebab saya buat begini?” Sahutku, “Beritahulah mengapa tuan berbuat begini?”Baginda SAW bersabda, “Sesungguhnya apabila seorang Islam mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian dia menunaikan solah lima waktu maka gugurlah dosanya seperti gugurnya daun-daun ini.” Kemudian Baginda SAW membaca ayat yang berikut:
“Dan dirikanlah solah pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada ketika-ketika yang berhampiran dengannya daripada waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebaikan itu (terutamanya solah) akan menghapuskan dosa. Perintah-perintah ALLAH TAALA yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang yang ingin mendapat peringatan’’
(Hadith riwayat Imam Ahmad, Nasai dan Tabarani.).(Hud : 114) Melalui cerita ini saya terfikir betapa mudahnya dosa di ampunkan oleh Allah SWT sekiranya hambanya bersolat.Sekiranya saya melepaskan kelebihan solat ini maka amat malanglah bagi saya kerana tidak berfikir dengan betul dan tidak menggunakan kognitif saya dengan betul.


Saya juga dapat mengaitkan bahawa kaitan solat terhadap apa yang Allah sediakan kepada hamba-Nya dengan amalan mulia ini.Melalui kajian ini,iaitu kajian terhadap solat yang dipaparkan pada surat khabar lama melalui terbitan  Persatuan Islam Kebangsaan Malaysia (MICNA) Jordan yang telah mengenalpasti bahawa  sesiapa yang tidak menunaikan sembahyang maka otaknya tidak dapat menerima darah secukupnya untuk berfungsi secara sempurna. Jurucakap MICNA Jordan juga berkata,ini bererti darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan ketika seseorang itu sujud ketika bersembahyang."Ini diakui sendiri oleh seorang doctor neurologi di Amerika Syarikat yang telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban di dalam penyelidikannya iaitu Doktor tersebut mendapati dalam kajiannya urat pada saraf manusia memerlukan darah untuk beberapa sukatan tertentu sahaja.
"Ini bermaksud darah akan memasuki bahagian urat tersebut mengikut
kadar sembahyang waktu yang diwajibkan oleh Islam," katanya dalam
kenyataan pada Majalah Buletin Bulanan MICNA Jordan tersebut.Oleh sebab itu alasan apakah lagi yang akan diberikan saya untuk tidak bersolat sekiranya dilihat pada kajian ini,solat bukan sahaja dapat mengampunkan dosa malah member saya kesihatan yang baik.Jadi dengan intervensi ini saya lebih berfikiran positif dan sentiasa berfikir terhadap hikmah-hikmah yang terkandung dalam suruhan Allah untuk mendirikan solat 5 waktu.



Analisis rohani
Dari segi rohani,tidak dapat dinafikan bahawa solat sangat memberi saya suatu ketenangan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.Tambahan pula sebagai seorang yang sudah cukup matang dan cukup umur,saya tidak boleh lagi meninggalkan solat. neraka yang sungguh dahsyat siksanya di akhirat. Kita sebenarnya sedang menjalankan urusan hamba dengan Tuannya. Kita tidak mengharapkan ganjaran syurga atau dijauhkan dari siksaan Allah, tetapi kita mengharapkan agar Allah menerima sembahan kita sebagai hamba.Melalui intervensi ini saya dapat  merasakan  saya berada  dalam keadaan Allah meredhai dan menerima diri saya  sebagai hambaNya.Saya berasa cukup lapang sehingga berasa sangat banyak masa diberikan kepada saya dalam 24 jam sehari.Saya dapat menguruskan jiwa saya dengan baik dan tidak cepat panik sekiranya terdapat ujian yang melanda seperti mempunyai masalah dalam soal membuat tugasan saya di universiti atau mempunyai masalah kewwangan.Rohani saya telah terisi dengan pengisian yang tepat dan sangat berguna untuk kebaikan diri saya dan orang-orang di sekeliling saya seperti rakan-rakan. Seterusnya saya  dapat menghayati  perjalanan hidup Rasulullah SAW yang berkaitan solat. Jika difikirkan dan bandingkan dengan diri kita, Rasulullah pernah bersabda yang mana memberi  saya satu pandangan yang tepat dalam emosi saya.
"pusat kebahagiaanku terletak dalam solat.

Dapat saya bayangkan, Rasulullah mendapat ketenangan dalam hidupnya sewaktu solat. Dengan kata lain, Rasulullah mendapatkan rehat dan menenangkan dirinya ketika bersolat. Bandingkan pula dengan diri saya hari ini. Kadangkala bukan sahaja diri saya sendiri yang tidak mendapat ketenangan dalam solat, bahkan orang yang melihat juga turut sama tidak tenang memikirkan solat jenis apakah yang kita sedang lakukan.Oleh yang demikian,saya sangat menjaga kesempurnaan dan khusyuk solat saya apabila melihat kebahagiaan yang dikatakan Rasulullah kerana saya turut sama mahu merasakannya dalam seharian hidup saya. Dengan menjaga tatatertib dalam solat.dapat saya rasai kebahagiaan ini dan seolah-olah waktu solat adalah waktu yang cukup merehatkan minda dan fizikal saya.oleh itu dari segi rohani saya amat berasa kesaanya.Sebuah kedamaian yang tidak dapat diluahkan tetapi dapat saya rasakan setiap kali saya bersolat dan merasainya selepas solat.




Analisis emosi
Sebelum ini saya mengalami tekanan emosi berikutan pada ketidakcekapan saya menguruskan masa saya seharian.Oleh sebab itu saya sering berasa tertekan dan tidak tenteram dan cepat marah.Selepas mengamalkan solat awal waktu dan tidak meninggalkan solat subuh,saya berasa dapat mengawal emosi saya dengan baik.Seperti diriwayatkan daripada Hazrat Abu Hurairah RA katanya, Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda,
 “Jika sebatang anak sungai mengalir di hadapan pintu rumah salah seorang daripada kamu dan dia mandi dalam sungai itu sebanyak lima kali sehari, pada pendapat kamu masih adakah lagi kekotoran (pada badannya)?”
Para sahabat R.Anhum menjawab, “Tidak akan tertinggal sedikitpun kekotoran.” Rasulullah SAW bersabda, “Maka demikianlah juga solah lima waktu, melalui solah ALLAH TAALA akan mengampunkan dosa.”
(Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Riwayat ini memberi saya gambaran bahawa apabila kita mengerjakan solat,kita akan berasa bersih dan suci kerana dosa-dosa kita di ampunkan dan dibersihkan seperti mandi di dalam sungai yang mengalir tersebut.Dengan itulah ketenteraman emosi dapat saya perolehi.

Analisis tingkahlaku
Tingkah laku saya banyak berubah.sebelum ini saya banyak membuang masa seperti menonton filem di You Tube sehingga selalu lalai pada waktu solat dan banyak membuang masa dengan laman sembang sosial seperti facebook dan twitter.sekarang setelah membuat intervensi selama seminggu,saya tidak lagi lalai kepada perkara-perkara demikian.Hal ini kerana jika di ikutkan,melakukan perkara-perkara sedemikian,sekiranya terlalai adalah merupakan satu dosa menurut ;
 Hazrat ‘Ubadah bin Somit RA telah berkata,
“Kekasihku Rasulullah SAW telah mewasiatkan kepadaku tujuh perkara. Sabda Baginda SAW ; “Jangan menyengutukan ALLAH TAALA dengan sesuatu apapun, walaupun kamu akan dibunuh atau dibakar atau disalib. Jangan meninggalkan solah dengan sengaja, kerana sesiapa meninggalkan solah dengan sengaja akan terkeluar daripada agama Islam. Jangan melakukan maksiat, kerana perbuatan itu akan menyebabkan kemurkaan ALLAH TAALA dan jangan minum arak, kerana perbuatan ini adalah ibu segala masiat.”
(Hadith riwayat Imam Tabarani)
Menurut hadis ini meninggalkan solat dengan sengaja adalah terkeluar dari agama dan saya tidak mahu tergolong daripada kalangan mereka yang malang tersebut.Oleh itu saya tidak lagi meninggalkan solat atau melambatkan solat hanya disebabkan hiburan duniawi tersebut.


Selain itu,saya menjadi lebih pembersih kerana setiap kali ingin solat dirumah saya akan mandi terlebih dahulu dan saya juga menjadi lebih rajin membersihkan rumah bagi mendapatkan suasana tempat solat yang kondusif dan tenang.Hal ini kerana untuk mendirikan solat,salah satu hukumnya adalah suci dan bersih.– Orang yang mendirikan solat wajib suci pakaian dan tempat solatnya dari najis, kecuali najis yang dimaafkan seperti darah yang sedikit, kotoran yang melekat pada kaki dan sebagainya. Dalam kaedah feqah disebutkan bahawa "kesukaran itu dapat menarik keringanan", oleh itu najis yang dimaafkan itu tidak membatalkan solat.Dengan yang demikian saya sentiasa berada dalam keadaan yang bersih untuk mengelakkan solat saya tidak diterima. Selain itu,saya juga sentiasa menutup aurat kerana menurut hokum, menutup aurat bagi wanita ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua tapak tangan dan ini adalah batas ini paling penting dan wajib ditutup dalam solat. Saya juga lebih peka dalam menguruskan waktu dan peka terhadap waktu solat.Perkara ini sekaligus member saya kebiasaan melihat jam dan mengelakkan saya dari membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.Tingkah laku saya juga membawa perkembangan positif kerana saya menjadi seorang yang tidak membuang masa dengan tidur pada waktu siang secara berlebihan lagi.Hal ini kerana apabila saya mengambil wudhuk untuk bersolat,rasa malas dan mengantuk saya hilang dan saya dapat mengisi masa dengan sebaik-baiknya daripada menurut hawa nafsu tidur.Terdapat petikan ulama’ bahawa “ Malah adalah lebih baik sekiranya setiap kali merasa mengantuk kita memperbaharui wudhu’ semula kerana dengan cara membasuh muka dan mengenakan air kepada anggota tubuh itu akan dapat menyegarkan semula badan kita dan kita menjadi bersemangat untuk mengerjakan solat.’’ Oleh itu menjadi satu amalan saya untuk berada dalam keadaan wudhu’.

Cadangan
Saya berharap agar keazaman ini berkekalan supaya saya terus mengamalkan sikap tidak meninggalkan solat dan solat di awal waktu tanpa alasan lagi.Saya juga sangat berharap agar amalan tidak melewatkan solat ini menjadi keutamaan saya dan dengan ini saya berharap agar saya dapat menghindari diri saya daripada melakukan maksiat seperti mendengar lagu-lagu yang mengasyikkan,menonton rancangan yang tidak bersesuaian dengan pegangan agama saya atau melakukan perkara yang merugikan diri saya sendiri.Supaya tidak terjadi perkara-perkara yang mungkar walaupun saya bersolat,saya juga mencadangkan agar saya menjaga solat dan kesempurnaannya kerana bukan sahaja saya sebagai manusia,ramai orang yang bersolat tapi masih melakukan pelbagai kemungkaran. Solatnya lengkap lima waktu sehari semalam, bahkan lengkap berjemaah, tetapi masih melakukan maksiat atau menyakiti rakan-rakan. Sebabnya hanya satu, solat yang dilakukan bukan atas dasar hamba dengan tuannya, tetapi hanya atas dasar keterpaksaan yang hanya mengharapkan faedah di akhirat kelak. Dan pastinya, tiada lagi kekhusyukan kerana solat tersebut sekadar untuk melengkapkan rukun yang hanya menjadi senaman lima waktu sehari semalam.Saya bercadang dan nekad untu ktidak menjadi individu keji itu dan mahu menjadi yang terbaik di sisi Allah SWT.



Kesimpulan
Intervensi ini sangat berkesan bagi saya kerana saya melakukannya dengan istiqamah dan ikhlas untuk menguji diri saya dan memperbaiki diri saya kearah yang lebih baik.Saya berharap saya terus menjadi hamba Allah yang menunaikan solat di awal waktu dan tidak meninggalkannya dengan sengaja.Terdapat banyak kelebihan dalam amalan solat seharian ini.Intervensi ini banyak membuka mata saya tentang waktu-waktu yang telah saya lalaikan dengan sengaja dan menyedarkan saya tentang hikmah-hikmah yang Allah SWT ingin berikan kepada hambaNya sekiranya kita bersolat seperti dalam contoh satu riwayat ; Hazrat Abu Zar RA berkata,
 “Suatu ketika Rasulullah SAW keluar pada musim sejuk semasa daun-daun gugur, lantas Baginda memegang dahan dari sebatang pokok maka daun-daun tersebut mulai gugur dengan lebat dari dahan tersebut. Baginda SAW bersabda, ” Wahai Abu Zar.” Saya menyahut, “Saya, Ya Rasulullah.” Kemudian Baginda SAW bersabda, “Apabila seseorang Islam menunaikan solah untuk mendapat keredhaan ALLAH TAALA, dosanya gugur seperti gugurnya daun-daun ini dari pokok.” (Hadith riwayat Imam Ahmad)
Begitulah  dosa akan diampunkan sekiranya kita bersolat kerana Allah SWT. Tambahan pula,setelah membaca artikel mengenai kajian kebaikan Seorang professor fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Katanya tubuh badan  mengandungi dua cas elektrik iatu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyaknya tenaga kita telah gunakan dalam mengendalikan kerja kita.


 
Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita.Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalandi minda professor ini mengapa Islam mensyariatkansolat berjemah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.Hasil kajiannyamendapati bilangan rakaat yang berbeza dalam solat kita bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita. Semasa kita solatberjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan tindakanyang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai
berbagai kelebihan. Kajian sains mendapati sentuhanyang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan – sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita.Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat berapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuhdapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan 2 rakaat.Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh.Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk  memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan.Sebab itu,solat Zohor didirikan 4 rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dalam tubuh.Situasi yang sama turut berlaku di sebelah petang.Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti mana solat Zohor, 4 rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.Terdapat banyak lagi kelebihan yang boleh kita dapati daripada solat namun kita muhasabah kembali solat kita, adakah selama ini kita telah menyempurnakan ruku' dan sujud kita dengan betul? Jika dibuat ujian amali solat di masjid-masjid hari ini,kita boleh saksikan, berapa ramai orang yang gagal dalam soal ruku' dan sujud ni.Pernah Imam Ahmad bin Hambal RA yang mengatakan bahawa

"Akan datang suatu masa di mana orang-orang mengerjakan solat namun mereka sebenarnya tidak mengerjakannya. Dan saya betul-betul takut kalaulah zaman itu adalah zaman kita sekarang".
Sebagai penutup terakhir,saya ingin  kongsikan sesuatu : 

"Subhanallah! Ada ramai orang yang tidak sedang mabuk namun keadaan mereka ketika solat jauh lebih buruk dari orang-orang yang sedang mabuk. Mereka sama sekali tidak mengerti apa yang mereka ucapkan ketika solat. Minuman keras (khamr) telah diharamkan ketika solat, sebelum akhirnya diharamkan sepenuhnya karena satu sebab, yaitu agar orang-orang Islam mengerti dengan sedar apa yang mereka ucapkan ketika solat.

Demi Allah, berapakah solat yang anda lakukan dalam kondisi lebih jelek dari orang-orang yang tengah mabuk? Bayangkan dan rasakanlah! Katakan kepada saya apakah anda rela berada dalam kondisi demikian?! Sukakah anda menjadi orang yang lalai, sementara anda tengah berada di hadapan Allah?!! "

Cubalah sebaik dan seihlas mungkin untuk khusyuk dalam solat kerana hanya kekhusyukan dapat menjadikan kita mudah mendirikan solat. 

Moga beroleh sekelumit pengajaran insyaAllah...







No comments:

Post a Comment

Ok tell me how do u feel about that?